Selamat Datang Ke Blog Rasmi Majlis Daerah Sabak Bernam


Artikel

Taksiran Cukai MDSB


Apakah yang dimaksudkan dengan Cukai Taksiran?
Cukai Taksiran adalah cukai yang dikenakan ke atas pegangan berkadar seperti:-


• Rumah/Kediaman,


• Bangunan perniagaan dan perusahaan (kedai, kilang, hotel dsbnya),


• Tanah/lot kosong yang terletak dalam kawasan MDSB.




Bagaimana Kaedah Pengiraan Cukai Taksiran?
Cukai Taksiran dikira sama ada menurut nilai pegangan berpandukan keluasan, jenis atau sewa yang dibayar bagi pegangan berkenaan.




Bagaimana Cara Membayar Cukai Taksiran?
Cukai Taksiran perlu dibayar 2 kali dalam setahun seperti berikut:


• Bagi ½ tahun pertama - 1 Januari hingga 28(29) Februari;


• Bagi ½ tahun kedua - 1 Julai hingga 31 Ogos; atau dibayar sekaligus untuk setahun sebelum 28(29) Februari tahun berkenaan.




Kaedah Kutipan Cukai Taksiran.


Bil-bil cukai akan diedarkan kepada semua pemegang harta pada awal bulan Januari (1/2 tahun pertama) dan bulan Julai ( ½ tahun kedua) bagi setiap tahun.


• Tempoh 2 bulan diberikan untuk semua pemilik harta membuat bayaran cukai taksiran.


• Selepas tempoh 2 bulan, sekiranya masih gagal menjelaskan cukai taksiran maka NOTIS E (Sek. 147, Akta Kerajaan Tempatan 1976) akan dikeluarkan bersama-sama dengan denda. Denda yang dikenakan adalah sebanyak 3% daripada jumlah tunggakan.


• Jika masih gagal menjelaskan tunggakan cukai maka WARAN TAHANAN ( NOTIS F) akan dikeluarkan dan tempoh 7 hari akan diberi (Sek. 148, Akta Kerajaan Tempatan 1976).


• Kegagalan menjelaskan waran dalam tempoh yang diberikan akan menyebabkan HARTA ANDA DISITA.




Apa yang patut dilakukan oleh pemilik harta apabila tidak menerima bil Cukai Taksiran?
Datang sendiri ke Kaunter Bil Majlis Daerah Sabak Bernam di Sungai Besar untuk mendapatkan bil-bil tersebut. Sila berikan maklumat seperti berikut untuk kemudahan carian:-


• Nombor rumah dan kedudukan harta pegangan.


• Nombor akaun (jika ada) atau kemukakan bil lama untuk rujukan.




Apa yang perlu dilakukan oleh penyewa sekiranya Cukai Taksiran tidak dibayar oleh pemilik pegangan?
Penyewa boleh mengemukakan bil Cukai Taksiran itu kepada pemilik untuk bayaran segera. Jika pemilik gagal untuk menjelaskan bil-bil tersebut, harta penyewa yang terdapat dalam pegangan itu boleh ditahan. Untuk melindungi barang-barang penyewa daripada ditahan oleh MDSB, penyewa boleh membayar sewa pegangan itu kepada MDHS sehingga tunggakan itu dijelaskan sepenuhnya. Penyewa akan dilindungi oleh Seksyen 151 (6) Akta 171.




Membeli rumah/tanah dalam kawasan MDSB.

Apa yang patut dilakukan?
Semak dahulu dengan MDSB nama pemilik dalam daftar MDSB, tunggakan Cukai Taksiran bagi rumah/tanah untuk tujuan pindah hakmilik. Seksyen 146 dan 160 Akta 171 menyatakan bahawa kadar (tunggakan) adalah tanggungjawab pemilik pada masa itu untuk menjelaskannya. Anda dinasihatkan supaya menyemak dengan peguam atau ejen yang menguruskan urusniaga tersebut untuk menentukan cukai (tunggakan) telah dijelaskan oleh pemilik sebenar.




Pertukaran milik pegangan bagi harta (rumah/tanah).


Sila beritahu MDSB dengan segera menggunakan borang I dan J dalam tempoh 3 bulan selepas jualan atau pindahmilik. Jika gagal berbuat demikian, MDSB boleh mengambil tindakan menurut Seksyen 160(6) Akta 171.


Tidak mampu untuk membayar Cukai Taksiran sekaligus?
Jika pemilik tidak mampu untuk membayar cukai/tunggakan sekaligus, sila datang ke Bahagian Penilaian & Pelaburan MDSB, Sungai Besar untuk membincangkan perkara tersebut dan menyelesaikan masalah cukai taksiran yang dihadapi oleh pemilik pegangan dalam kawasan MDSB.

No comments:

Post a Comment