Perutusan YDP
PUAN HAJAH AZLINDA BINTI AZMAN, PPT
Pertama sekali marilah kita memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga ke
hadrat Allah SWT kerana atas limpah kurnia dan izinNya untuk kita meneruskan
usaha dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab mengurus dan mentadbir MDSB ke
arah kemajuan dan pembangunan yang lebih cemerlang serta perkhidmatan dan
layanan yang lebih baik kepada pelanggan.
Terlebih dahulu saya ingin
mengucapkan Selamat Datang ke laman sesawang MDSB ini. Semoga laman ini dapat
membantu memberikan informasi yang bermanfaat dan berguna berkaitan dengan
pengurusan dan perkhidmatan MDSB khususnya dan Daerah Sabak Bernam amnya.
Saya yang baru menerajui MDSB, 2
Januari 2015, merasakan bahawa tugas untuk membawa MDSB ke arah lebih cemerlang
adalah satu tugas yang penuh cabaran. Namun saya yakin dan percaya melalui
kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh Ketua Jabatan/ Bahagian dan Unit
serta sokongan daripada semua Ahli Majlis dan seluruh warga kerja MDSB, setiap
pencapaian, anugerah dan sumber pendapatan akan terus dipertingkatkan. Saya
juga berharap agar semua warga kerja MDSB sentiasa mengamalkan prinsip kerja
berpasukan, bekerja dalam suasana yang ceria disamping berfikiran positif,
kreatif dan inovatif untuk merancang dan melaksanakan sesuatu yang baru bagi
meningkatkan kecemerlangan dan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.
Walaupun MDSB adalah PBT yang
terkecil berbanding PBT lain namun, kita masih boleh berbangga dengan beberapa
anugerah dan pencapaian yang dicapai iaitu Pengiktirafan MS ISO 9001:2008 dan
Anugerah Sijil Bersih 13 tahun berturut-turut. Semenjak 2011 hingga 2014, MDSB
telah menerima Anugerah Amalan Persekitaran Kerja Berkualiti 5S daripada
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Pada tahun 2012, MDSB dianugerahkan
Johan Pertandingan Amalan Terbaik Zon Bersih PBT Selangor sempena Malis
Pelancaran Zon Bersih Peringkat MBPJ dan Johan Kriteria Pembangunan Aduan
Setempat Zon Bersih PBT Selangor. Pada tahun 2012, mengungguli anugerah sempena
zon bersih, MDSB telah menerima 4 anugerah sekaligus iaitu Johan kriteria
Dokumentasi Zon Bersih sesi 2012-2013e, Johan Kriteria Pengurusan Program Zon
Bersih, Kriteria Pemantauan Kebersihan Zon Bersih, Kriteria Dokumentasi Zon
Bersih Zon Bersih Sesi 2012-2013(Peringkat Majlis Daerah). Baru-baru ini
juga buat julung kalinya, MDSB mendapat tempat ke 4 dalam Program Sambutan
Maulidurrasul 1436H
Saya masih lagi berpegang kepada
polisi dan dasar MDSB sedia ada iaitu dari segi pembangunan fasa baharu tahun
2015 hingga 2015 untuk mencapai misi dan visi yang telah ditetapkan. Walaupun
dari segi pembangunannya yang agak perlahan kerana sebahagian besar kawasan
adalah hutan simpan dan kawasan pertanian, namun fokus utama adalah untuk
mengembang dan membangunkan lagi sektor agro pertanian di daerah ini. saya
berusaha untuk menambah baik dan mempromosi daerah ini agar dikenali di Selangor,
Malaysia dan peringkat antarabangsa. In shaa Allah.
Akhir kata, saya mengharapkan
sokongan daripada semua pihak dan bersedia untuk mendengar pandangan dan
kritikan yang positif daripada orang ramai demi untuk melihat MDSB ini akan
sentiasa Bersih, Indah dan Aman selaras dengan moto MDSB "BERIMAN DAN
BUDIMAN"..
Sekian, terima kasih.